Thursday, August 15, 2013

Instinct Seorang Sahabat

Assalamualaikum
Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.
8 Syawal 1434H

Malam.
Sepi.
Tiada lagi kedengaran dentuman meriam mahupun letupan mercun kala ini.
Kipas yang tegak berdiri berhampiran kepala katil, telah lama aku matikan suisnya.
Asap nipis yang mengeluarkan bau yang agak kuat agak menyakitkan rongga hidungku. Segera kujauhkan bekas yang mengisi lingkaran ubat nyamuk yang agak tidak memberi kesan kepada nyamuk-nyamuk kampung yang masih gigih berusaha menghisap darah di telingaku. 

Ubat batuk telah ku minum mengikut sukatan usai solat Isyak. Batuk yang agak teruk sejak akhir-akhir ini tidaklah begitu menggusarkan aku. Tapi, aku tetap berusaha untuk sembuh. Semoga Allah sembuhkan aku. Ya, aku sudah bersedia untuk melelapkan mata. Doa tidur telah siap ku baca. 3 Qul telah siap ku hembus dan sapu ke seluruh tubuh. Tapi, hairan...Kenapa mata ini masih tidak mahu terlelap?

Lantas, tangan laju saja menghantar pesanan ringkas kepada dia-si sahabat yang sudah lama menyepi. Entah kenapa, malam ini tergerak hati untuk "bertegur-sapa" walau sebenarnya aku pernah berkira-kira untuk "mematikan diri" dari dia. Tak sangka, dia balas jugak mesej aku.

"saya dah kehilangan ayah saya. Pukul 10 malam tadi."

Ringkas saja pesanan balas dari dia. Aku kehilangan ayat untuk menaip balas pesanan tersebut. Sekalung Al-Fatihah ku sedekahkan buat ayahanda sang sahabat yang telah terpisah roh dari jasadnya...

Aku tahu, dia pasti sedang bersedih dan aku juga pasti dia perlukan ruang untuk bersendirian. Semoga jenazah ayahnya dapat disempurnakan dengan mudah dan semoga rohnya dicucuri rahmat kasih sayang Allah serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin.

#Pagi ini,langit mendung. Seolah-olah turut bersedih. Semoga kau tabah, wahai sahabat. Aku di sini, mendoakan yang baik-baik buatmu...