Monday, August 19, 2013

Cita-Cita Seorang Isteri

Assalamualaikum
Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa dalam usaha mencari pasangan, jangan hanya mementingkan aspek kepentingan dunia semata-mata. Aspek yang paling penting ialah AGAMA dan AKHLAK pasangan.
"Wanita itu dinikahi kerana empat perkara. Kecantikannya, keturunannya, hartanya atau kerana agamanya. Tetapi pilihlah yang beragama supaya dirimu selamat."
(H.R Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW menggesa umatnya supaya memilih calon suami ataupun isteri yang baik daripada segi agama. Sekiranya baik agamanya, faktor-faktor lain seperti keturunan, kecantikan dan ketampanan serta hartanya akan baik juga.

Wanita yang mencari suami pula lebih mudah kriterianya. Suami yang baik adalah suami yang soleh. Hasan bin Ali cucunda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh seseorang,
"Saya mempunyai seorang puteri, siapakah yang layak menjadi suaminya, menurut pendapat tuan?"
Hasan berkata:
"Nikahkan dia dengan orang yang soleh. Sekiranya dia mencintai puterimu, dia akan menghormati dan membahagiakan dirinya. Sekiranya dia tidak mencintainya, dia tidak akan menzalimi dan menyakiti."
Lelaki soleh tidak akan menzalimi dan menyakiti wanita 
Kita sebagai seorang isteri pula, mestilah bercita-cita untuk menjadi seorang isteri yang solehah. Isteri yang benar-benar ingin membahagiakan suami akan berusaha mematuhi suaminya dan tidak mengutamakan orang lain lebih daripada suaminya. Semoga Allah redha dengan segala usaha kita untuk membahagiakan suami, anak-anak dan memberikan manfaat kepada masyarakat berkat daripada keluarga yang baik dan bahagia yang kita bina.

Untuk rujukan kita (Para Isteri); antara Sifat-sifat Isteri Solehah
  1. Membatasi pandangan mata hanya kepada suami. Puas dengan suami sendiri dan tidak memandang selainnya, tidak membanding-bandingkannya dengan orang lain serta tidak mengharapkan perhatian daripada orang lain selain daripada suaminya.
  2. Membataskan aktiviti-aktiviti harian di rumah, mengehadkan masa di luar rumah kecuali apabila ada alasan syarak yang menghalalkan kita berbuat demikian.
  3. Bersegera meminta maaf meskipun diri kita dizalimi. Sabda Rasulullah SAW : "Mahukah engkau aku beritahu mengenai isteri-isterimu yang menjadi ahli syurga? Merekalah yang penuh kasih sayang, subur dan suka meminta maaf. Iaitu sekiranya dizalimi, dia berkata, "Inilah tanganku ada di tanganmu. Aku tidak akan tidur sehingga engakau redha kepadaku." (HR An-Nasa'ie).
  4. Memenuhi hak-hak suami dengan baik, mengasuh dan mendidik anak-anak dengan baik serta memenuhi hak kedua-duanya dengan baik.
  5. Berusaha supaya sentiasa tampil menarik setiap masa. Penampilannya cantik, aromanya wangi, tutur katanya lembut dan memikat dan baik tingkah lakunya.
  6. Berusaha untuk tidak memperlihatkan hal-hal yang tidak disukai suaminya.
  7. Pandai memasak serta pandai menjaga kebersihan diri, anak-anak dan rumah tangga.
  8. Cerdas dan cermat dalam bertindak, berbicara dan meminta.
  9. Sabar, berani dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab rumah tangga.
  10. Menghantar suami ke depan pintu setiap kali suami berangkat ke tempat kerja, menyambutnya setiap kali dia pulang, berterima kasih di atas pemberiannya dan selalu mendoakan kebaikan kepadanya.
Akhir kata,
"Janganlah seorang lelaki mukmin membenci isterinya yang mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi(tentu) ada lain perangainya yang dia suka." (HR Ahmad dan Muslim)