Wednesday, October 12, 2011

Novel Bersiri: Takde Tajuk lagi. Baru mula menulis.

Assalamualaikum
Pagi yang sememangnya dingin membuatkan aku malas untuk meninggalkan tilam yang empuk. Walau sejuk mencengkam tulang, kipas syiling masih berputar laju. Sengaja aku tidak mematikan suis kipas. Bunyi bilah-bilah kipas yang berputar ligat seolah-olah irama sebuah lagu yang mendamaikan. Bunyi itu membuatkan aku lebih tenang sekali gus menangkis kesunyian bilik yang tinggal aku tak berteman.

"Tot..tot..tot.." Bunyi telefon bimbitku melenyapkan bayangan seseorang dari pandangan hatiku.
"Morning. Bangun. Solat Subuh." Terpapar mesej dari Eman di peti masuk.
"Morning. Bangunlah ni." Balasku ringkas.

Segera aku mencapai berus gigi, ubat gigi dan pencuci muka. Aku berlalu ke bilik air.Suasana sunyi. Teman-teman serumah masih lena dibuai mimpi barangkali. Usai urusan di bilik air, aku kembali ke bilik. Menyarung telekung pemberian mak, membentang sejadah dan solat. 

Usai solat, jam baru menunjukkan pukul 6.15 pagi. Aku berlalu ke dapur. Mencuci periuk nasi dan pinggan mangkuk yang diguna malam tadi. Sejak akhir-akhir ini, cepat benar aku terasa lapar. Malam tadi, hampir pukul 10 malam perut aku mogok lapar. Nak tak nak terpaksalah aku menanak nasi. Makan berlaukkan telur goreng sudah cukup menyelerakan. Hidup sebagai pekerja kontrak yang bergaji tak menentu membuatkan aku kadang-kadang cukup kedekut dengan perut sendiri. Makan apa adanya. 

Hari ini aku cuti. Bolehlah aku berehat di rumah. Tapi, bukan bermakna aku boleh tidur sepanjang hari. Baju menimbun di dalam bakul perlu aku 'kerjakan', bilik yang dah seminggu tak berkemas perlu di rapikan dan daun-daun kering yang gugur di laman rumah perlu disapu. Walaupun bukan aku seorang yang tinggal di rumah sewa di tepi highway Juru ni, aku yang rela hati untuk menyapu di laman rumah. Aku rasa seronok bila dapat buat kerja-kerja rumah. Rasa seronok bila rumah bersih walaupun rumah kelihatan usang dek kerana cat yang dah pudar warnanya, dinding yang dah berlumut dan pagar yang dah berkarat. Tapi, tak kisahlah. Bak kata Senario "Luar setinggan, dalam kondo".

"Tak kerja hari ni?" Sapa satu suara yang cukup aku kenali sewaktu ku sedang asyik menyapu daun-daun kering di laman rumah.
"Tak. Hari ni cuti." Balas aku sambil tersenyum mesra. Mata memandang wajah Kak Ton; jiran sebelah  kiri rumah yang agak ramah dan baik. Kalau hari hujan dan tiada orang di rumah, Kak Ton lah yang baik hati mengangkat kain di ampaian. Aku sengaja memberi kunci pendua pintu pagar rumah kepada Kak Ton sebab  teman-teman serumahku pun jarang-jarang ada di rumah.

Hampir masuk waktu Zohor, barulah selesai semua kerja-kerja rumah. Puas rasanya bila dapat tengok rumah yang bersih dan berbau wangi selepas lantai dimop. Penat memang penat tapi  berbaloi bila dapat memanfaatkan waktu cuti sebaik-baiknya. Bila badan penat, mata pun mengantuk. Aku merebahkan diri di atas sofa di ruang tamu. Baru seminit dua melelapkan mata, telefon bimbitku berlagu riang mengejutkan aku daripada lena.

"Assalamualaikum. Buat apa tu? Rindu la, dah lama tak dengar suara. Tak dengar khabar." Ucap satu suara yang sangat aku rindui.

"Waalaikumussalam. Baru je siap mengemas rumah. Ain sihat. Ayah sihat ke? Mak sihat? Maaflah dah lama tak telefon ayah." Balas aku dengan ceria tapi sedikit rasa bersalah.

" Alhamdulillah. Ayah sihat. Mak pun sihat. Cuma sunyi la. Selalu ada Ain. Kerja macamana? " Soal ayah lagi.

"Seronok kerja. Dapat kawan-kawan baru. Tapi penatla. Kerja ikut shift. Kerja senang tapi mata yang tak senang. Lagi-lagi kalau shift malam." Adu aku pada ayah.

"Ain sabarlah. Biar bersusah-susah dulu. Lagipun bukan selama-lamanya Ain nak kerja kat situ. Cari pengalaman je kat situ."

"Betul tu ayah. Ain memang sengaja nak kerja kat kilang tu."

Hampir lima minit bersembang dengan ayah sebelum talian dimatikan. Aku bersyukur ada ayah yang selalu memanjakan aku. Bukan dengan kemewahan harta benda tapi dengan ketulusan kasih sayang. Mungkin sebab itu aku kadang-kadang tak kisah bila orang lain melukakan hati aku sebab kasih sayang ayah menjadi ubat luka hati yang paling mujarab.

Keputusan aku untuk menimba pengalaman bekerja di kilang disokong kuat oleh ayah. Masih teringat pada hari temuduga kerja. Aku pergi ke kilang dengan menaiki van kilang. Ada empat orang dalam van tu. Aku, pemandu van dan sepasang kekasih yang duduk kat bahagian belakang van. Aku duduk bahagian tengah.  Berpakaian ala-ala cikgu nak pergi mengajar, aku dapat rasakan yang aku lain daripada yang lain. Orang lain pakai seluar jeans dengan baju-T. Aku pakai baju kurung, berstoking dan berkasut. Skema. Tapi, dah memang ditakdirkan aku punya wajah yang skema, pakai baju selekeh pun tetap nampak macam orang yang berilmu dan berpendidikan. Nampak je la. Padahal otak separa penuh.


"Selamat pagi, encik." Ucap aku kepada pegawai Cina yang jadi penemuduga.

"Selamat pagi. Duduk." Aku duduk sambil menjeling kertas yang dia pegang.Wow! Aku dapat markah penuh untuk soalan  tambah, tolak, darab dan bahagi yang aku jawab sebelum dipanggil ke bilik temuduga.

"Awak ada pengalaman kerja kilang?" Soal dia sambil tengok muka aku.

"Tak."

"Awak tak sambung belajar?"

"Tak. Lepas SPM, saya jadi tukang masak kat rumah." Jawab aku terlebih ramah.

"Dapat gaji?" Dia soal lagi dengan riak tanpa gelak.

"Dapat. Lebih kurang seratus ringgit sebulan." Jawab aku dengan yakin.

Banyak juga soalan yang ditanya. Aku jawab dengan yakin walaupun banyak fakta yang aku sembunyikan. Nak menipu pun kena bijak. Muka kena serius. Padahal dalam hati dah tergelak-gelak. Lu kena beb!

Lepas ditemuduga, nama aku dipanggil lagi. Kali ni dah macam proses penyingkiran kat Akademi Fantasia. Ada yang berjaya dan ada jugak yang tersingkir. Ramai juga yang tersingkir. Nampaknya budak yang naik sama van dengan aku telah tersingkir. Mungkin tak lepas ujian tambah, darab, tolak, bahagi. Bangga aku, dapat kerja. Sebelum balik, kena ukur saiz kaki dan saiz badan. Bila lalui sendiri situasi macam ni, barulah aku tahu betapa susahnya nak mendapatkan kerja. Masa ujian tambah, darab, tolak, dan bahagi, aku kena marah sebab tolong kawan sebelah jawab soalan. Aku kesian tengok mak cik tu berkerut-kerut dahi sambil tenung kertas soalan. Sebagai orang muda yang sejak azalinya baik, aku pun menghulurkan bantuan. Tapi, buat bila kita nak buat baik memang banyak halangannya. Padan muka aku. Kena marah. Secara positifnya, satu dewan tahu yang aku ni baik hati. Tak kedekut ilmu.

Bila dah mula kerja, dapat kenal dengan ramai orang. Ada yang lebih muda tapi kebanyakannya lebih tua daripada aku. Ada macam-macam cerita yang aku dengar setiap hari. Aku ni kurang bercakap tapi banyak mendengar. Memang seronok jadi minah kilang. Kerja tekun-tekun. Rehat sekejap. Kerja tekun-tekun lagi. Rehat lagi. Kerja lagi tekun. Lepas tu, boleh balik rumah. Kerja aku senang. Tengok board yang dah siap. Periksa komponen-komponen elektronik kat board tu. Lepas tu, scan board yang dah siap. Lepas tu bungkus cantik-cantik dalam kotak. Kerja ala-ala cashier kat pasaraya tu.

Yah; nama kawan baik aku sejak hari pertama kerja. Seronok dapat kawan dengan dia sebab dia perempuan. Boleh temankan pergi tandas. Boleh tolong cover kalau aku ngantuk masa kerja. Walau perwatakan berbeza, yang penting dia matang dan memahami. Aku suka kawan macam tu. Bila ada kawan yang best, berkobar-kobar semangat nak pergi kerja sebab nak jumpa kawan. Bukan nak buat kerja sangat pun.

"Ain, tadi leader cari kau." Yah menegur aku yang tengah khusyuk makan megi goreng di kantin.
"Kenapa? Tadi aku keluar paling awal. Lapar." Balasku sambil tunduk mengadap makanan.
"Dia kata kau kena tukar department."
"Haa. Kenapa pula? " Aku dah mula rasa tak sedap hati.

Bulan kedua, aku ditukarkan ke department lain. Walau masih dalam kilang yang sama tapi department lain bermakna aku kena cari kawan-kawan lain. Jarang-jarang sangat dapat jumpa Yah. Jumpa pun cuma waktu rehat. Aku dah mula rasa bosan nak datang kerja.

"Ain, akak dah hantar nama kamu untuk ke department sebelah. Kat sana tak cukup orang." Masih aku teringat kata Line Leader ; Kak Liza pada hujung bulan pertama.
"Ok. Ain tak kisah." Jawab aku walaupun sebenarnya aku kisah.

Sejak bertukar tempat kerja, aku memang sangat-sangat tak bersemangat. Pergi kerja tanpa perasaan. Buat kerja macam robot. Tapi, tanpa aku sedari ada mata yang sering memandang aku dari jauh. Mata yang selalu nak tengok aku senyum. Siapakah pemilik mata tu?

.................Keh..keh..keh...................................................................bersambung kalau rajin.....