Monday, August 1, 2011

Sekali Lagi

Assalamualaikum
Alhamdulillah. Perjuangan akan diteruskan lagi. Walau nampak sukar, penuh dengan kebimbangan, rasa bersalah dan serba salah...Namun, masih ada yang sudi memberikan sokongan. Demi Allah, takkan dipersia-siakan peluang SEKALI LAGI ini.

Ramadhan yang mulia, hadirmu memberikan sinar harapan di hati ini. Alhamdulillah, kita bertemu lagi. Aku rindu saat hati ini saling bertautan dengan segala amal kebaikan sepanjang bulan yang penuh kemuliaan. Aku rindu zaman hidup dalam dunia penuh pentarbiyahan. Aku rindu kata-kata Sang Penyebar Ilmu Allah mengingatkan aku tentang dosa dan pahala. Aku sedar, aku telah dewasa..aku punya daya fikir yang waras untuk berzikir mengingati Tuhan Yang Satu. Namun, kesedaran ini kadang-kadang tewas oleh sang nafsu yang membenarkan sesuatu yang jelas salah!

Wahai teman, andai aku berubah ke jalan yang salah, bantu aku menuju ke persimpangan untuk membuat pusingan U. Aku ini kadang-kadang lemah, minta dipimpin mungkin juga perlu diseret dan diheret ke jalan taqwa. Wahai sahabat, andai kau sayangkan aku, takkan bisa kau pujuk aku ke lembah hina yang melalaikan lagi menghinakan dan dimurkai Allah. Andai benar kau sayang aku, izinkan aku terus berlari mengejar Tuhan Yang Satu... Biarkan aku menyepi kerana sepi ini lebih mendamaikan kalbu...lebih mengingatkan aku pada DIA yang tak pernah jemu menemaniku...

Ketahuilah, aku tidak pernah menyesal atas 'perpisahan' ini kerana aku benar-benar nekad. Walau aku nampak lemah dan lembut melayan segala karenah mu yang kejam dalam ucap yang halus mulus, sebenarnya aku bukan selemah itu untuk terus kau perkotak-katikkan hati ini. Sesudah aku bertekad, sesudah hati jadi bulat, ku serahkan segala pada DIA yang menciptakan segala yang di langit dan bumi. Semoga kau tenang bersama dengan 'pilihan' yang kau idam-idamkan.

Kini, yang aku idamkan cuma sebuah kejayaan. Demi agamaku, demi Allah yang menciptakan hatiku, demi ibu dan ayah yang mendidikku, demi keluarga kesayanganku... Walau ku akui, jalanku penuh liku, tapi aku takkan persia-siakan peluang SEKALI LAGI ini. Bukan hanya dibibir aku melafazkan ini, bukan hanya tekad dihati, namun hasrat ini yang akan ku perjuangkan hingga ke akhirnya nanti....


~Salam Ramadhan Al-Mubarak~
Cik Nurul Hafizah binti Hj Mohamed Shoaip
1 Ramadhan 1432H