Tuesday, August 31, 2010

Cerita Berilhamkan Lagu : Sepasang Kurung Biru

Assalamualaikum
Hari ini Cuti Merdeka. Hari ini tarikh akhir untuk submit assignment kepada pihak penganjur Pertandingan Menulis Cerita Berilhamkan Lagu.
Penganjur kata :Salam.. waktu pertandingan akan berakhir jam 11.59 malam ini :)
Dengan ini, Saya Cik Jari mempertaruhkan Sepasang Kurung Biru untuk pertandingan ini. Selamat Membaca.





Suatu hari, ibu dan ayah bergaduh lagi. Ayah marah-marah. Ibu cuma senyap. Ibu mungkin sedang mendengar hujah ayah atau mungkin juga ibu sudah letih untuk berbalah. Aku tahu, ibu sayang ayah. Tapi Tok Wan sangat membenci ayah. Tok wan ialah ayah kepada ibu. Tok wan kata ayah jahat, padahal aku tahu bahawa ayah cukup bertanggungjawab. Aku ada dua orang adik dan ayah sayang kami semua. Ayah selalu pesan supaya jangan bergaduh dengan adik-beradik. Maka,sebab itu aku,Angah dan Acik sangat akrab.

Keesokannya, ayah menghantar aku ke sekolah. Ayah hantar aku sampai ke depan pintu kelas. Ayah ciumku,ayah usap-usap rambutku dan aku nampak mata ayah merah. Mungkin ayah tak cukup tidur atau mungkin juga ayah sedang menahan tangis. Entahlah,aku tak pandai nak membaca hati ayah.

"Along,belajar rajin-rajin ye. Tolong jaga ibu,jaga adik-adik kalau ayah tiada nanti”.
Aku hanya mengangguk lalu menyalami dan mencium tangan ayah.Ayah genggam erat tanganku.Lama. Aku mendongak dan aku nampak air mata jernih menuruni kelopak mata ayah.
“Ayah,janganlah sedih.Along janji.Along akan belajar bersungguh-sungguh.”
Lantas ku peluk ayah.Aku sayang ayah. Aku mesti belajar bersungguh-sungguh; itu tekadku walau aku tak mengerti maksud sebenar disebalik kata-kata ayah.



Petang itu,ibu menjemputku pulang dari sekolah.Wajah ibu mendung.Ibu senyum tapi hambar.Mata ibu sembap.Ibu kata,ayah sudah tinggalkan kita.Tinggalkan kami semua.
“Kemanakah ayah?”
Soalanku hanya dijawab dengan esak tangis ibu dan aku tidak sampai hati untuk mendesak ibu lagi.

Hari demi hari,aku menunggu ayah pulang.Aku kian gigih belajar dengan harapan ayah akan pulang andai aku lulus dengan cemerlang dalam pelajaranku. Tahun berikutnya, aku bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan aku berhasrat menghadiahkan 5A untuk ayah. Walaupun aku bukan pelajar elit yang menjadi kesayangan cikgu-cikgu,aku tetap berusaha gigih.Demi ayah!

Hasilnya,mestilah aku berjaya. Ramai cikgu yang terkejut dan kagum dengan kejayaanku.Ibu tersenyum bahagia sewaktu aku diumumkan sebagai pelajar cemerlang dan sepatutnya aku turut gembira. Tapi,ada sendu di hatiku. Ayah masih jua tidak muncul di hari bahagiaku.
"Along rindu ayah"bisik hati kecilku.
Sesak nafasku menahan sendu dihati.Seksanya rindu yang kutanggung ini.

Sebulan kemudian, aku mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh. Ibulah orang yang paling sibuk menyiapkan segala kelengkapanku. Kasihan ibu, pasti ibu penat. Kalau diikutkan hati,aku tak ingin berpisah dengan ibu. Aku nak jaga ibu. Jaga adik-adikku. Tapi, ibu beriya-iya mahu aku belajar jauh. Aku hanya menurut kata,asalkan ibu bahagia.

Hari pertama di asrama, aku berasa sangat-sangat kehilangan. Aku bukan saja rindukan ayah, malah rindukan ibu dan adik-adik. Suasana di asrama begitu asing buat diriku. Ditambah lagi dengan kegarangan kakak-kakak senior yang bermuka bengis. Jiwaku merintih tapi aku kuatkan semangat. Akan kukotakan janjiku pada ayah. Aku tak ingin tewas sebelum berjuang.

Hari berganti minggu,minggu berganti bulan,akhirnya setelah genap tiga bulan aku di asrama, aku pulang bercuti untuk berbuka puasa bersama-sama ibu dan adik-adikku. Ibu menyambut kepulanganku dengan gembira sekali. Kasihan ibu, bertungkus-lumus bekerja demi aku dan adik-adik.Aku lihat wajah ibu cengkung. Mungkin tidak cukup tidur.Berjaga untuk menyiapkan tempahan baju dan langsir.

Hari kedua aku di rumah, tiba-tiba sahaja ayah muncul di depan pintu rumah. Tapi kepulangan ayah dalam keadaan yang sungguh menyedihkan. Mukanya lebam-lebam kesan kena pukul. Kepala dan lengannya juga luka-luka. Aku hampir meraung melihat keadaan ayah. Aku meluru kearah ayah dan mendakapnya erat. Terubat rinduku pada ayah.Tapi,ibu seolah-olah tidak menyenangi kepulangan ayah. Wajah ibu kelat. Tiada senyuman.

“Sal…tolonglah…sekali ini saja. Abang janji,lain kali abang tak akan susahkan Sal lagi,’’ rayu ayah dengan suara yang sedikit menggeletar. Cuba meraih simpati.

“Abang,dah berapa kali Sal cakap. Sal tak akan bagi abang duit lagi. Takkan abang tak faham? Suara ibu meninggi.

“Sal tak kesiankan abang ke?”

“Sebab kesiankan abanglah, Sal buat macam ni. Sal tak mahu abang terus hanyut. Sal nak abang hidup macam orang lain.” Bersungguh-sungguh ibu menuturkan kata.

“Sal…abang janji ini kali terakhir abang ambil benda tu. Lepas ni abang akan buat rawatan,seperti yang Sal suruh. Abang janji Sal.” Terketar-ketar suara ayah sambil memegang tangan ibu.

Ibu hanya diam membatu dan membiarkan ayah terus merayu-rayu.

“Abang tak faham-faham lagi ke? Sal tak ada duit.Kalau Sal kata tak ada…tak adalah!” Ibu menjerit geram. Hilang sudah kelembutan ibu selama ini.

“Abang minta cara elok tapi Sal marah-marah abang. Sal jangan meyesal kalau abang guna cara kasar.” Ugut ayah lalu terus meluru ke dalam bilik tidur ibu.Ibu mengekori.

“Abang…tolong jangan ambil duit tu. Itu duit untuk belanja anak-anak kita bang. Raya dah dekat. Mana saya nak cari duit lagi,bang?” Berjurai-jurai air mata ibu sambil merayu-rayu kepada ayah.

Aku nampak ibu dan ayah bergelut. Akhirnya,ibu jatuh terjelapuk setelah ditolak kasar oleh ayah. Aku meluru mendapatkan ibu. Ayah sudah lesap menghilangkan diri. Pilu hatiku melihat ayah yang sudah tidak seperti dulu. Tidak sempat aku bercerita tentang kejayaanku.Tidak sempat aku meluahkan kata rindu buat ayah.

Kata ibu, ayah penagih dadah.Kata ibu lagi, sejak aku tinggal di asrama,ayah kerap balik. Ayah balik untuk meminta wang. Sudah puas ibu bersabar dengan sikap ayah,tapi ayah masih tidak berubah.Ibu sebal dengan perangai ayah.

Sehari sebelum Syawal, ayah pulang lagi. Ayah pulang menjinjing sebungkus beg plastik. Ayah kata,ada hadiah untukku.Hadiah atas kejayaan-kejayaanku. Ayah peluk aku.Kata ayah, bukan kehendaknya untuk jadi begitu. Sayangnya,semua sudah terlambat dan ayah sudah terjebak. Aku menangis sambil memeluk ayah.

“Ayah,berubahlah. Along masih sayangkan ayah.” Ucapku dalam sendu yang masih bersisa.Ayah memelukku erat dan aku masih dapat rasa kasih ayah masih hangat seperti dulu.

“Esok,ayah janji akan pulang ke sini lagi. Kita beraya bersama-sama.” Aku senyum bahagia.Walaubagaimana sekalipun keadaan ayah,aku tetap sayang ayah. Aku tetap perlukan ayah.

Di pagi Syawal yang mulia,aku menyarungkan sepasang kurung biru pemberian ayah tercinta.Gembira hatiku. Aku bakal beraya dengan ayah lagi. Aku bakal mencium dan mengucup tangan ayah lagi. Aku rindu kenangan lalu.Biasanya, pada pagi raya, ayah akan kejutkan aku dan adik-adik. Kemudian,ayah akan menolong ibu menyiapkan juadah raya sebelum kami makan bersama.Sungguh,aku rindu kenangan itu.


“Ibu, mana ayah ni? Dah masuk waktu senja, tapi ayah masih belum muncul lagi.” Sejak Subuh lagi aku sudah menanti kedatangan ayah. Tapi,bayang ayah masih belum muncul walaupun hari sudah merangkak ke senja.Tetamu yang tadinya ramai,sudah beransur-ansur pulang.

“Entahlah Along. Ibu pun tak tahu. Sekejap lagi,ayah sampai la tu.” Aku tahu,sudah acapkali ayah mungkir janji dan ibu sekadar ingin menyedapkan hatiku.
Aku pula terus sabar menanti, walaupun aku tak pasti detik penghujung penantianku ini.





Sepasang Kurung Biru

Tiada salam atau ucapan
Tiada pesan tanda ingatan
Suasana penuh keriangan
Ku teringat pada seseorang
oh...

Di hari yang berbahgia ini
Hatiku kosong dan sepi sekali
Betapa manis kenangi lalu
Menyambut raya bersama denganku
oh...

( korus )
Tiada bisikan lembut yang ku dengar
Hanya suara azan sayup bergema
Masih kurasakan hangat tanganmu
Di pagi raya bersalam dengan ku

Tetamu datang tetamu pergi
Namun tak tiba orang ku nanti
Hanya sepasang kurung nan biru
Menjadi teman mengubat rindu ku
oh...